RENCANA UTUSAN ONLINE
ARKIB: 11 SEPT 2011
"SARJAN JAMIL, PAHLAWAN SEJATI"
DATUK J.J RAJ
*MINGGUAN: Apakah kaitan Datuk Seri dengan peristiwa Bukit Kepong?
J.J RAJ: Sebelum saya pergi lebih jauh saya mahu berikan fakta asas
berhubung peristiwa ini. Peristiwa ini berlaku pada 23 Februari 1950 dan
sehari sebelum itu iaitu pada 22 Februari masyarakat Cina menyambut
Tahun Baru Cina. Pada masa itu saya merupakan Ketua Polis Daerah (OCPD)
Pagoh. Sebagai Ketua Polis Daerah saya diberi tanggungjawab menjaga 20
balai polis dan 20 pondok polis dan Balai Polis Bukit Kepong adalah
salah satu daripadanya.
*MINGGUAN: Difahamkan sehari sebelum peristiwa menyayat hati itu berlaku, Datuk
Seri dilapor telah melawat Balai Polis Bukit Kepong. Boleh Datuk Seri
ceritakan?
J.J RAJ: Ya, pada 22 Februari (1950) saya telah melawat Balai Polis
Bukit Kepong bersama 10 anggota. Kami bertolak daripada Balai Polis
Daerah Pagoh menuju Balai Polis Lenga dengan cara menaiki kenderaan.
Masa yang kami ambil antara satu hingga dua jam. Pernah terjadi dalam
pertengahan jalan ketika kami ke Lenga, berlaku serang hendap daripada
pihak komunis. Sebab itu kita sentiasa berwaspada. Apabila sampai di
Balai Polis Bukit Kepong saya menemui Allahyarham Sarjan Jamil Mohd.
Shah dan anggota-anggotanya serta tidak ketinggalan Tok Penghulu kawasan
tersebut. Tok Penghulu Bukit Kepong pada masa itu bernama Penghulu Ali.
Kami kemudian makan tengah hari bersama dan kemudian saya melakukan
rondaan di Pekan Bukit Kepong bersama Sarjan Jamil, Penghulu Ali dan
beberapa orang mata-mata dengan menggunakan basikal. Pekan Bukit Kepong
tidak besar. Di sini terdapat kita-kira 30 buah kedai yang para
peniaganya terdiri daripada orang Cina. Dari segi komposisi penduduk
pula saya anggarkan penduduk Melayu lebih kurang 1,300 dan mereka
tinggal di kampung-kampung.
*MINGGUAN: Seterusnya apa yang berlaku?
J.J RAJ: Kira-kira pukul 7 malam saya tamatkan lawatan saya di Bukit
Kepong dan bersedia untuk pulang semua ke Pagoh. Ketika berada di Jeti
Bukit Kepong untuk pulang saya sempat meninggalkan pesan kepada Sarjan
Jamil. Saya kata kepada Sarjan Jamil 'Tok Jamil jaga diri baik-baik'.
Pada masa itu Tok Penghulu, Sarjan Jamil dan orang kampung turut
mengiringi kepulangan saya.
*MINGGUAN: Adakah itu kata-kata terakhir Datuk Seri kepada Sarjan Jamil sebelum berlaku peristiwa Bukit Kepong pada pagi esoknya?
J.J RAJ: Saya anggap begitulah. Ia umpama pesanan akhir saya kepada
Sarjan Jamil dan semua anggota polis di Bukit Kepong sebelum berlakunya
peristiwa serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada
keesokannya. Saya masih ingat jawapan Sarjan Jamil: "Jangan bimbang tuan
OCPD, kita akan jaga, biar putih tulang jangan putih mata
''.
Ketika ayat ini diungkapkan saya kurang faham dan saya mula faham
selepas peristiwa ini berlaku. Sebenarnya semasa kita meronda pada
petang 22 Februari terdapat 180 pengganas komunis telah mula mengepong
di belakang balai polis. Kita tidak nampak kerana kawasan tersebut
merupakan kawasan hutan.
*MINGGUAN: Apa yang berlaku pada pagi 23 Februari 1950 di Bukit Kepong?
J.J RAJ: Tepat pukul pukul 4.30 pagi (23 Februari), pengganas komunis
telah meniup trompet buat kali pertama dan mereka telah melepaskan
tembakan ke arah Balai Polis Bukit Kepong. Sebaik sahaja menyedari balai
telah diserang, Sarjan Jamil dan semua anggota yang kesemuanya
berjumlah 20 orang mengambil tempat masing-masing di kubu di kawasan
balai untuk berbalas tembakan. Tembak menembak berlaku sehingga pukul
6.30 pagi. 180 orang komunis yang melakukan serangan ini dilengkapi
dengan senjata-senjata automatik berbanding 20 orang kita cuma
dilengkapi dua pucuk senjata automatik dan jika hendak dibandingkan
kekuatan anggota, kekuatan komunis adalah tujuh kali ganda lebih
daripada kekuatan polis. Sungguhpun begitu pihak komunis masih gagal
memasuki balai walaupun telah melakukan serangan selama dua jam.
Kira-kira pukul 6.30 pagi, pihak komunis telah meniup trompet untuk
kali kedua dan sejurus selepas itu tembakan dihentikan serta merta.
Kemudian salah seorang anggota komunis yang bernama Mat Indera dengan
menggunakan pembesar suara telah meminta polis menyerah diri sekiranya
mahu selamat. Mat Indera berkata demikian sebanyak tiga hingga empat
kali.
Sarjan Jamil menjawab yang pihak polis tidak sesekali menyerah diri.
Dia berkata, biar putih tulang tetapi jangan putih mata. Ketika itu
ramai di kalangan anggota telah meninggal dunia dan ada juga yang cedera
parah. Sebaik sahaja Sarjan Jamil berkata demikian, pihak komunis
meniup trompet buat kali ketiga dan selepas itu berlaku serangan bertali
arus daripada kumpulan pengganas itu. Kali ini serangan bukan setakat
di belakang balai malah ia meliputi sekeliling balai. Walaupun begitu
komunis tetap gagal memasuki kawasan bala sehinggalah mereka melakukan
serangan dengan
molotov cocktail hingga menyebabkan balai
terbakar. Ketika itu barulah Sarjan Jamil dan anggota-anggota yang lain
lari ke kubu bersebelahan untuk menyerang balik komunis. Mereka tidak
menyerah diri. Mereka terus melakukan serangan terhadap komunis. Namun
begitu ada anggota yang terkorban semasa melarikan diri ke kubu lain
akibat tembakan pihak komunis. Ketika itu juga komunis berjaya masuk ke
kawasan balai dan membunuh saki baki anggota polis kita termasuk Sarjan
Jamil. Berdasarkan rekod kita seramai 27 orang terkorban dalam peristiwa
itu. 14 anggota polis, lima anggota polis bantuan, empat isteri polis
dan empat anak-anak polis. Empat lagi anggota polis mengalami cedera
parah.
*MINGGUAN: Pukul berapa Datuk Seri dapat tahu peristiwa serangan itu?
J.J RAJ: Saya terima laporan kejadian ini kira-kira pukul 6 pagi
daripada Balai Polis Lenga. Laporan ini diterima hasil daripada maklumat
orang Kampung Durian Chondong. Kampung ini terletak antara Lenga dan
Bukit Kepong. Dahulu kami adalah sebuah keluarga besar. Kami amat
mengenali penghulu-penghulu di kampung-kampung berdekatan. Saya
diberitahu, Penghulu Kampung Durian Chondong terkeliru sama ada bunyi
tembakan yang didengar itu adakah bunyi tembakan atau mercun. Akhirnya
penghulu kampung tersebut mengambil keputusan menghantar dua orang anak
buah menaiki sampan membuat laporan ke Balai Polis Lenga mengenai bunyi
tembakan itu. Dari Lenga, laporan terus sampai ke pengetahuan saya di
Pagoh.
Selepas menerima laporan saya serta 10 anggota lain bergegas ke Balai
Polis Bukit Kepong dan perjalanan memakan masa hampir tiga jam. Sesampai
di sana saya lihat balai polis sudah terbakar dan beberapa mayat
anggota polis yang terkorban juga turut hangus. Menteri Besar Johor
ketika itu, Datuk Onn Jaafar turut datang melawat. Saya tabik hormat
kepada Datuk Onn dan Datuk Onn terus mengarahkan saya menguruskan
anak-anak buah saya terutama yang mengalami kecederaan. Empat anggota
polis yang tercedera telah dihantar ke hospital dengan segera dengan
menaiki bot. Hasil tinjuan saya juga mendapati bot polis milik Balai
Polis Bukit Kepong juga terbakar.
*MINGGUAN: Bagaimanakah penilaian Datuk Seri terhadap Sarjan Jamil dan semua
anggota yang terkorban mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong.
J.J RAJ: Secara peribadi saya menyifatkan Sarjan Jamil dan semua
anggota yang terkorban merupakan wira sebenar yang sepatutnya diangkat
dan dihargai. Mereka bermatian-matian mempertahankan kawasan mereka
daripada diceroboh daripada komunis sehingga titisan darah terakhir.
Melalui pengalaman saya ada dua perkara semangat orang Melayu sampai ke
kemuncak. Pertama jika isterinya diganggu dan kedua jika agamanya
digugat, dan inilah yang berlaku. Sebab itu mereka begitu bersemangat
mempertahankan Bukit Kepong. Mereka tidak rela Balai Polis Bukit Kepong
ditawan oleh pihak komunis. Meskipun jumlah mereka sedikit mereka
langsung tidak gentar melawan pengganas komunis. Mereka sebenarnya ada
peluang untuk menyerah diri atau melarikan diri dan ia boleh berlaku
dalam tiga keadaan. Pertama, polis marin yang menjaga bot di sungai
bila-bila masa sahaja boleh cabut lari tetapi mereka tidak berbuat
begitu. Malah mereka menjadikan bot sebagai kubu untuk menyerang
komunis. Akhirnya mereka terkorban dan bot terbakar. Kedua, apabila
komunis memulakan serangan, Sarjan Jamil boleh menyerah diri tetapi
beliau dan anggota-anggota yang lain melawan dengan begitu bersemangat.
Orang Melayu ini lain kalau semangat sudah naik, tiada siapa yang boleh
halang.
Keadaan ketiga berlaku kira-kira 6.30 pagi. Pada masa itu Mat Indera
telah meminta polis serah diri tetapi Sarjan Jamil tetap tidak mahu
menyerah. Pada masa itu mayat berada di sebelah kanan dan kiri Sarjan
Jamil. Di berek kelamin anak dan isteri menangis ketakutan, Kalau
manusia biasa tentu dia sudah serah diri tetapi semangat Sarjan Jamil
begitu kental. Dia begitu berani dan istimewa. Tanpa hiraukan apa-apa,
Sarjan Jamil enggan menyerah kalah. Sarjan Jamil dan anggota yang
terkorban adalah wira sebenar. Saya pernah menghantar sepucuk surat
kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2005
supaya kerajaan memberi pengiktirafan negara kepada kesemua mereka yang
terkorban di dalam peristiwa Bukit Kepong.
*MINGGUAN: Sejauh mana pengetahuan Datuk Seri mengenai penglibatan Muhammad Indera sebagai salah seorang pemimpin di dalam kumpulan ini?
J.J RAJ: Berdasarkan rekod kita, selepas tiupan trompet kali kedua
Mat Indera telah keluar dan meminta polis menyerah diri dengan
menggunakan pembesar suara. Orang kata Mat Indera wira, itu saya tidak
tahu tetapi setahu saya dia merupakan salah seorang daripada 180
pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong. Mat Indera
beri arahan kepada polis supaya serah diri. Nampaknya Mat Indera ada
kuasa seolah-olah seperti pemimpin. Terpulang kepada rakyat untuk
membuat pertimbangan. Saya hanya mengemukakan fakta.
*MINGGUAN: Apa perasaan Datuk Seri sebaik sahaja tiba di tempat kejadian?
J.J RAJ: Ketika saya tiba, balai masih terbakar dan perkara pertama
yang saya lakukan ialah menghantar segera empat anggota yang cedera
parah ke hospital. Dalam masa sama, 10 anggota yang mengiringi saya
meminta saya masuk ke hutan mencari komunis yang telah membunuh
rakan-rakan mereka. Saya kata jangan dan katakan kepada mereka
selesaikan dahulu orang kita. Pada masa ini disiplin paling mustahak.
Mereka mendengar arahan saya dan lakukan apa yang saya minta. Kalau
hendak ikutkan hati, saya percaya mereka boleh menembak kesemua peniaga
Cina yang berada di situ untuk balas dendam. Namun itu tidak berlaku
kerana mereka mempunyai disiplin yang cukup tinggi.
*MINGGUAN: Bagaimana keadaan mayat Sarjan Jamil dan para anggota yang terkorban?
J.J RAJ: Pada awalnya saya sukar mengecam mereka kerana kebanyakan
mayat terbakar hangus. Orang komunis memang jahat. Mereka bakar
mayat-mayat anggota. Mana-mana yang tercedera dicampakkan ke dalam api
bangunan balai yang sedang terbakar. Begitu juga mayat isteri dan anak
anggota yang mati ditembak juga turut terbakar.
*MINGGUAN: Berapa usia Datuk Seri ketika itu?
J.J RAJ: Saya berusia sekitar 27 tahun manakala Sarjan Jamil pula
baru berusia sekitar 28 tahun. Namun saya harus nyatakan bagaimana
keberanian dan ketabahan beliau dan anggota lain dalam perjuangan
tersebut. Pada saya ketika itu orang Melayu mementingkan dua perkara
pertamanya mereka akan mempertahankan agama dan kedua adalah keluarga.
Ini adalah tanggungjawab yang dipertahankan orang Melayu dan ini yang
diperjuangkan oleh Sarjan Jamil dan anggotanya yang terkubur. Saya
mengenali Sarjan Jamil yang sangat bertanggungjawab orangnya dan beliau
sebagai ketua balai sangat komited dalam menjaga keselamatan penduduk
kampung di Bukit Kepong. Semua ini adalah di bawah tanggungjawab beliau
dan Tok Penghulu Ali juga sangat bertanggungjawab terhadap penduduk
kampungnya. Setiap malam beliau akan menghantar empat atau lima orang
polis bantuan ke balai polis untuk membantu anggota di sana.
*MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri mengenal pasti bahawa Mat Indera yang memberi arahan serangan di Balai Polis Bukit Kepong?
J.J RAJ: Saya mendapat laporan yang dikumpulkan dan sumber utama yang
memberikan kami maklumat adalah dua tiga orang anggota komunis yang
berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian. Salah seorang daripada
mereka dikenali sebagai Ching yang menceritakan apa sebenarnya berlaku.
*MINGGUAN: Adakah ramai di kalangan komunis yang terbunuh dalam kejadian itu?
J.J RAJ: Berdasarkan apa yang saya dengar, ramai di antara mereka
yang mati namun tidak dapat dinyatakan jumlah mereka kerana pihak
komunis membawa bersama mayat mereka yang terbunuh ke dalam hutan.
*MINGGUAN: Kenapa Balai Polis Bukit Kepong yang dipilih sebagai sasaran komunis dan bukan balai polis lain?
J.J RAJ: Permulaannya pada 16 Jun 1948, pihak komunis telah menembak
seorang pengurus estet di Sungai Siput. Kemudian mereka mula mengganas
dengan menembak beberapa balai polis di seluruh negara tidak mengira
siang atau malam. Ini termasuklah sebuah balai polis di Gua Musang yang
mana 300 orang komunis menyerang balai polis tersebut serta bertindak
kurang ajar menaikkan bendera komunis di sana. Tujuan mereka kurang ajar
dengan menyerang dan menaikkan bendera di merata balai polis yang
diserang, kemudian mengisytihar kawasan tersebut sebagai
white area (milik mereka).
Namun lama kelamaan sekitar awal tahun 1950-an pasukan keselamatan
dan polis semakin kuat, mengakibatkan komunis semakin lemah dan
kebanyakan mereka telah ditembak mati. Namun pada 22 Januari 1950,
beberapa bulan sebelum peristiwa Bukit Kepong, sekitar 22 orang anggota
komunis telah ditembak mati di Labis, mengakibatkan mereka semakin
lemah.
Maka untuk menaikkan semangat anggota komunis ini pihak atasan mereka
telah memberi arahan supaya mencari sasaran yang lemah untuk di serang.
Setelah dikenal pasti, mereka mendapati Balai Polis Bukit Kepong
merupakan sasaran yang lemah kerana terletak jauh di pedalaman serta
masalah kesukaran berkomunikasi. Yang ada hanya satu
land line. Ini menyukarkan bantuan untuk sampai di sana.
*MINGGUAN: Apakah peristiwa Bukit Kepong ini meninggalkan kesan yang mendalam terhadap Datuk Seri?
J.J RAJ: Ia memang meninggalkan kesan yang mendalam. Saya pernah
meminta supaya dibina sebuah tugu atau peringatan terhadap mereka yang
terkorban dalam peperangan tersebut. Kalau boleh ia perlu di bina di
Kuala Lumpur dan bukan di Bukit kepong supaya orang ramai boleh melihat
bagaimana tingginya semangat dan pengorbanan mereka ini dalam
mempertahankan negara. Bagi saya semangat mereka ini memang tidak ada
tolak bandingnya dan saya benar-benar kagum dengan semangat mereka yang
kekal berjuang tanpa mengenal erti menyerah kalah. Malah setiap kali
saya berkursus di luar negara seperti di kolej polis dan kolej tentera
di London dan sebagainya, saya akan menyatakan bagaimana kekentalan
semangat mereka yang terkorban di Bukit Kepong. Ada pula yang bertanya
kepada saya tentang kisah ini.
Antara mereka adalah seorang kenamaan yang berpangkat tinggi iaitu
Lord Louis Mountbatten dan saya beritahu kepada beliau kisah berkenaan.
Saya dengan bangga berkata kepada beliau, bahawa perkara yang boleh kita
pelajari mengenai Sarjan Jamil dan anggotanya adalah mereka yang
terlibat dalam peristiwa Bukit Kepong saya anggap sebagai pahlawan
Melayu sejati, berjuang sama hebatnya seperti askar Gurkha yang
berkhidmat kepada tentera British atau mungkin mereka lebih baik. Ini
kerana askar Gurkha ini sangat dikenali dengan keberanian mereka dalam
berperang dan ini menggerunkan pihak lawan. Mereka ini bila berperang
sama sekali tidak akan menyerah diri. Kalau dilihat kepada budak-budak
Melayu wira Bukit Kepong, jumlah mereka adalah sangat sedikit sekitar 20
orang. Namun semangat yang ditunjukkan mereka sangat tinggi. Pihak
British yang saya jumpa menerima kenyataan ini kerana saya terangkan
bahawa wira-wira ini mempunyai tiga peluang untuk menyerah kalah kepada
komunis namun mereka tidak melakukannya malah tetap melawan sehingga ke
akhir hayat.
PERISTIWA SERANGAN PENGGANAS KOMUNIS KE ATAS BALAI POLIS BUKIT KEPONG
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
DATUK SERI J.J RAJ (EMPAT DARI KIRI) KETIKA MENYANDANG JAWATAN KETUA POLIS DAERAH PAGOH BERSAMA SEBAHAGIAN ANGGOTA BALAI POLIS BUKIT KEPONG
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
BUKU NUKILAN DATUK SERI J.J RAJ YANG DITERBITKAN PELANDUK PUBLICATIONS PADA 1995
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------